Ahad, 24 Oktober 2010

fikir- fikir, buka dan ubah mentaliti diri, dan masyarakat..belajar dari pengalaman orang lama.

 Seronok duduk- duduk menikmati pemandangan alam landskaping di rumah pakcik awal- awal pagi.. sambil- sambil menikmati keindahan landskap, saya berbual- bual dengan pakcik... cerita kami banyak berkisar kepada landskap sekitar rumahnya. Dia menerangkan idea- idea landskap yang telah dia buat selama 3 tahun ini. Saya berkata dalam hati,'wah,ini satu jangka masa yang panjang'. Cuba anda bayangkan kawasan rumah yang cuma seluas 2 lot ( 1 ekar dibahagi kepada empat lot) memerlukan satu tempoh masa yang penjang untuk membentuk landskap yang amat memuaskan hati sendiri dan juga pengunjung.

 Pada asalnya kawasan rumah sangat kotor dan kawasan semak yang menjadi kawasan pembiakan ular dan binatang berbisa yang lain. Tetapi ianya berubah menjadi satu kawasan yang indah pada tahun ini(2010) sehinggakan ianya layak dijadikan kawasan perlancongan agrotik.
 Seni landskap memerlukan satu sifat kesabaran dan kreativiti yang amat kuat serta berpanjangan kerana ianya mengambil masa yang panjang untuk membentuk satu kawasan landskap yang bermula daripada pembersihan kawasan, penanaman bunga, susun atur hiasan, seni bina, binaan bangunan rumah dan kolam, pembinaan jalan, penempatan kilang memproses gaharu yang tidak mencemarkan alam dan pemuliharaan kawasan hutan semula jadi. Perbelanjaan untuk seni landskap bergantung kepada penggunaan bahan seperti simen, pasir, batu, kayu dan pembelian bunga hiasan. Anggaran perbelanjaan landskap kawasan rumah pakcik saya anggarkan dalam lingkungan RM 50 ribu. Memandangkan kos itu terlalu besar, sudah pasti menjadi suatu kepuasan apabila mendapat satu kawasan landskap yang amat menenangkan dan menyegarkan di kawasan rumah sendiri.
    Sambil mengemas pasu - pasu bunga, pakcik berkongsi beberapa pendapat dan rancangn masa akan datang. Dia mengesyorkan supaya saya membuat satu perkara yang menjadi satu kepuasan dan sebagai satu sumber ekonomi dari rumah, iaitu 'satu rumah, satu industri'. Memandangkan kawasan perumahan di blok kami memiliki satu kawasan landskap semula jadi yang unik, iaitu memiliki kawasan tadahan air semulajadi, berbukit dan masih ada hutan simpan yang penuh dengan flora dan fauna, ianya amat sesuai untuk dijadikan kawasan perlancongan. Mungkin ramai yang berfikir, ianya pasti memerlukan kos yang amat besar, tetapi sebenarnya ia amat murah dan mudah jika dibandingkan dengan pelan perniagaan perkhidmatan yang lain.

 Pakcik menambah lagi, 'kamu mempunyai satu kelebihan lain iaitu penjinak binatang secara semulajadi dan minat kamu lebih kepada pemeliharaan haiwan'. Secara jujur, saya memang meminati bidang penternakan dan pemuliharaan haiwan liar. Ramai kenalan menyuruh saya supaya bekerja sebagai renjer atau pun penjaga haiwan di zoo, tetapi berlainan pula kepada pakcik. Dia menyuruh saya membuat penternakan dan pemuliharaan haiwan liar itu sendiri. Tidak perlu bekerja dengan orang, kerana ianya akan menguntungkan orang lain, tetapi jika kita sendiri yang buat, ianya memuaskan hati dan menjadi satu sumber ekonomi sendiri.

  Cuba kita fikirkan, kehidupan kawasan kampung amat tenang dan kebanyakkan orang yang tinggal di kawasan kampung tidak mempunyai masalah dari segi sumber makanan walaupun tidak memiliki kewangan yang banyak setiap bulan. Bahkan ramai orang kampung membeli kenderaan dan barang rumah secara tunai tanpa berhutang. Hal ini adalah disebabkan mereka mengusahakan sumber makanan sendiri tanpa membeli barang makanan harian kecuali apabila mengadakan kenduri barulah mereka membeli bahan makanan di pekan. Perbelanjaan di kampung sangat rendah berbanding kehidupan di pekan dan bandar dan segala kelengkapan barang rumah di kampung lebih mewah berbanding di bandar. Bayangkan, setiap rumah di kampung memiliki sekurang- kurangnya satu lot tanah, berbanding di bandar yang kebanyakkannya berkongsi satu lot tanah dan bukan memiliki lot tanah.
  Ramai orang di bandar mengatakan orang kampung ini miskin kerana tidak berpendapatan tetap dan kewangan yang sedikit jika dibandingkan di bandar. Pendapatan rendah di bandar adalah sebanyak RM 2,000.00, dan pendapatan rendah di kampung RM 300.00. Sudah pasti angka itu terlalu jauh perbezaannya, tetapi yang peliknya, pendapatan itu adalah sama taraf hidupnya. Di kampung tidak perlu memikirkan soal bayaran bil air setiap bulan kerana memiliki sumber paip air, tetapi di bandar, air menjadi satu beban kepada perbelanjaan rumah. Perbezaan yang ketara dalam kehidupan di bandar dan kampung ialah sifat dan sikap orang. Pembaziran kewangan berlaku di bandar, tetapi tidak di kampung. Bahkan penjimatan menjadi amalan harian orang kampung.

 Berbalik kepada ' satu rumah, satu industri', ianya sangat mudah dilakukan di kampung, dan pendapatan industri dalam rumah sangat menguntungkan jika dibandingkan di bandar. Kos industri di kawasan kampung sangat rendah berbanding di bandar kerana sumber bahan mentah amat mudah diperolehi dan kebanyakkannya tidak perlu dibeli kerana ianya sudah tersedia di halaman rumah.
 Ramai orang berfikir bahawa bekerja dengan kerajaan maupun sektor swasta menjamin kehidupan. Benar, kerana mempunyai pendapatan tetap setiap bulan, tetapi ianya belum mampu menampung perbelanjaan masa hadapan. Ramai yang bekerja dengan sektor kerajaan maupun swasta kelihatan hidup dalam kesenangan kewangan, tetapi sebenarnya hidup dalam kesempitan kewangan dan taraf hidup yang statik. Perbelanjaan ketika 'bujang', tidak sama dengan perbelanjaan berkeluarga. Bahkan keperluan harian semakin bertambah setiap masa apatah lagi dengan harga barang mentah yang tidak stabil dan sentiasa melambung tinggi.
 Tetapi jika dibandingkan dengan membuat sumber pendapatan sendiri seperti berniaga, bertani, dan menternak, segalanya bergantung kepada usaha yang lebih dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Bahkan pendapatan hasil daripada perniagaan, pertanian, dan penternakan sentiasa meningkat dan berlipat ganda lebih daripada pendapatan bekerja dengan orang, kerajaan, dan juga sektor swasta.
 Pada awal langkah untuk memulakan usaha mencari sumber pendapatan, graduan dari universiti yang memilih untuk bekerja 'makan gaji' akan bersaing untung mendapatkan pekerjaan dengan graduan- graduan lain dari semua universiti yang ada di Malaysia, dan sudah pasti akan 'menanam anggur' selama setahun. Manakala graduan yang memilih untuk membuat sumber pekerjaan akan terus berhempas pulas membuat pelan pekerjaan dalam tempoh masa setahun. Segalanya memerlukan usaha, kebijaksanaan dan juga kesabaran. Risiko yang dihadapi adalah rezeki yang ditentukan oleh Tuhan. Kepada yang memilih untuk mencari kerja akan menghadapi temuduga pekerjaan sebelum mendapat kerja, manakala yang memilih untuk membuat kerja, akan menghadapi satu proses penapisan semulajadi, iaitu usaha yang berjaya, ataupun gagal. Sekiranya berjaya, dia akan terus maju kehadapan tanpa menoleh kebelakang, sekiranya dia gagal, dia perlu bermula daripada bawah semula atau pun menyelesaikan punca kegagalan tersebut.
 Pada tempoh masa ketika dalam percubaan awal perkerjaan, yang bekerja dengan sektor kerajaan akan menunggu tempoh tiga bulan dan belum mendapat gaji selama dua bulan, begitu juga dengan sektor swasta, selama 3 bulan mereka cuma mendapat elaun sebanyak RM 400(ikut jenis syarikat) pada bulan pertama, kedua dan ketiga. Tetapi berlainan pula kepada yang membuat kerja sendiri, mereka akan terus menerima hasil titik peluh sekurang- kurangnya dalam RM 3,000 pada bulan pertama selepas melepasi tempoh setahun,bahkan ada yang memperoleh sebanyak RM 10,000.
 Dalam tempoh 5 tahun, hasil titik peluh daripada kerja makan gaji sebanyak RM 3,800( gaji sebulan).Pendapatan sebulan hasil daripada 'kerja sendiri' sebanyak RM 5,000 - RM 30,000.
 Setelah melepasi tempoh 10 tahun, yang bekerja dengan sektor kerajaan dan juga swasta berpeluang untuk mendapat kenaikan pangkat maka gaji mereka turut naik mengikut label pangkat yang mereka dapat dalam lingkungan RM 3,000- RM 10,000. Manakala bagi mereka yang berusaha keras dalam tempoh masa 10 tahun dalam bidang perniagaan akan duduk rehat menguruskan perniagaan kerana sudah berada dalam kedudukan stabil yang mana pendapatan sebulan sebanyak RM 10,000- RM 100,00.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan