Sabtu, 19 Mac 2011

sejarah Salafiah dan Wahabiah

Salafiah
Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutashabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat seperti nuzul (turun), istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.
Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.
Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.

Wahabiah
Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.
Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Mekah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.
Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
10 November 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan