Rabu, 16 Februari 2011

Melihat,Mendengar,Membaca,Menganalisis,Menyimpul...

Selama berjalan di muka bumi Tuhan ini, saya banyak memerhatikan dan mendengar bermacam ragam keadaan manusia. Terlalu sukar untuk mengambarkan keadaan manusia yang saya lihat, kerana ianya memerlukan daya mengimaginasikan melalui kata- kata. Jika dihuraikan dengan panjang lebar,rasanya page ini tidak mampu untuk menampung huraian - huraian itu..cukuplah sekadar mengambil analisis dan menyimpulkan keadaan itu..
Benarlah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh pujangga, kehidupan manusia ini seumpama bulu-bulu bunga kapas yang berterbangan di udara ditiup oleh angin,melayang berselerakkan mengikut haluan angin dan akhirnya jatuh dimerata-rata tempat yang tidak pasti samada akan tumbuh menjadi benih baru ataupun kekal sebagai bulu-bulu bunga kapas.
Begitulah kehidupan manusia pada ketika ini, hidup mengikut haluan setempat dan juga mengikut- ikut budaya kehidupan yang bermacam- macam tanpa arah tujuan yang jelas. Semuanya tidak pasti di mana pengakhiran kehidupan di dunia ini mengikut impian yang diimpikan atau pun mengikut keadaan desakan kehidupan.
Tidak terkecuali seorang manusia pun yang bergelar insan biasa selain para Nabi Allah, para Wali,dan para Aulia, yang tahu akan penghujung riwayat hidupnya. 
Yang pasti akan menjadi benih-benih baru yang berkualiti, ialah mereka yang menelusuri lorang-lorong kehidupan dengan berpandukan Tali Putih(Agama) untuk menuju ke destinasi berikutnya. Tetapi tidak semua akan sampai ke destinasi berikutnya kerana terlepas jalan menelusuri lorang-lorang itu dek tangan melecet tergilis dengan Tali itu, atau pun terhambat dengan tali-tali Hitam yang berjela-jela di lorang-lorong itu..
Aduh,pedih telapak tangan ini tergilis dengan Tali Putih itu kerana bermacam lengkok dan pinar tali-tali halus  yang menjadikan pintalan Tali Putih itu besar sesuai dengan genggaman tangan seorang manusia. Gilisan- gilisan tali halus itu bagaikan memilih seseorang yang teguh dan sanggup menahan gilisan-gilisan sebelum sampai ke destinasi berikutnya yang penuh dengan kenikmatan yang tidak terhingga dan yang pasti akan terus kekal kehidupan di sana..
Lorong-lorong kehidupan itu ada bermacam onak duri yang menghalang seorang manusia daripada terus berjalan,bagaikan ada pautan tangan-tangan ghaib di kaki daripada terus melangakah. Kadangkala khayalan-khayalan suasana lorong yang dipenuhi dengan kilauan-kilauan batu permata hitam menghalang perjalanan menelusuri Tali Putih itu dek terpedaya dan terpesona dengan kilauan hitam sang permata hitam. Hanya seseorang yang berhati teguh dan padu pada arah dan tujuannya sahaja yang akan berjaya menelusuri lorong-lorong itu dengan luka - luka yang berdarah dan mata yang buta daripada terlihat kilasan kilauan sang permata hitam.